CintaNya kepadaku jauh lebih dulu ada, dibandingkan cintaku kepadaNya, dan Dia sudah menemukanku, sebelum aku mencariNya (Abu Yazid Al-Bustami qs)

8 Apr 2014

Tolong Sampaikan Sedekahku Ini Kepada Para Pelacur



Seorang ulama besar sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadist kepada para muridnya.
Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadist dan menanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terperangah.

“Muridku sekalian....., aku punya hajat yang sangat besar.
Adakah diantara kalian yang mampu menunaikan hajatku ini...???” Tanya sang guru pada seluruh muridnya.
Salah seorang murid menjawab dengan penuh adab: 
“ Hajat apakah wahai Tuan Guru..??? Khabarkanlah kepada kami, semoga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru”.

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata: 
“ Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan....

adakah yang ingin membantuku membagikan harta ini...???”
“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mebagikankan harta ini...!!”. jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

“Kalau boleh tahu, kepada siapakah harta ini akan dibahagikan...???”. seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.
“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat ujung sebelah sana dan sebelah sana..!!". Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Keadaan menjadi bingung, masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.
“Aku sudah menduga bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini.
Kalau begitu tidaklah mengapa......

Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya.” Tuan Guru menjawab dengan tenang.
Para murid merasa bersalah di atas sikapnya.Salah seorang murid senior Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.
Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’ ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.

“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahwa ini adalah sedekah daripadaku (Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah ta'ala” Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut.

Maka sang murid yang mulia ini terus memulai tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya:
"Mengapa Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan hina ini.
Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan dari Tuan Guru ingin menyampaikan sedekah dari beliau kepada kalian.
Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah ta'ala”.
Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka.

Setelah selesai tugasnya, sang murid merasa lega, sambil menghelakan nafasnya.
Masing-masing menanti-nanti apakah yang akan terjadi selanjutnya setelah peristiwa tersebut.
Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan benar2 terjadi.....
Seluruh bumi Syria gempar melihat hampir keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru.

Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat dari segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur.

Ini merupakah karamah yang Allah ta'ala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara’ ini.
Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan pengaruh yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

~~ Tuan Guru yang saya maksudkan di sini ialah ( al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala. ).
Beliau wafat pada 1354 Hijriyah.
Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddiststin”.

-- Mula mengarang kitab ketika umurnya belum sampai 20 tahun.
Beliau mengajar di Masjid Umawi:

Perbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf, Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.
Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah).
-- Syeikh Badruddin al-Hasani juga mengajar kitab Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa kertas pun ditangannya.

Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya dengan begitu hebat.
Ketika umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.

Ini juga dilakukan tanpa melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di dalam dadanya.

Menurut para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah.
Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuk, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.

Antara kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah.
Semuanya mampu untuk memahami apa yang disampaikannya, bukan hanya para ulama dan penuntut ilmu, malah para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.

Ini kerana keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.
Beliau juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada seluruh para wali ketika itu) dan Mujaddid pada zaman tersebut.


Dari Syarifah Fathimah Al Habsyie
Comments
0 Comments

Tidak ada komentar: